Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Feb 27, 2009

BERSERAH PADAMU







TAWAKAL atau menyerahkan segala perkara kepada Allah adalah kunci utama dalam menghadapi sesuatu perkara. Apabila seseorang tidak bertawakal setelah berbuat sesuatu, ia akan mudah hilang pertimbangan dan akan mudah pula hanyut perasaan. Oleh yang demikian, tawakal memainkan peranan yang penting dalam mengiringi sesuatu usaha yang telah dilakukan.



Sifat tawakal boleh mendidik diri seseorang supaya sabar dan sentiasa menyerahkan segala urusan di tangan Allah Subhanahu Wata'ala. Walau bagaimanapun jika tawakal sahaja tanpa usaha, itu bukanlah tawakal yang dikehendaki oleh Islam. Oleh yang demikian, tidaklah boleh dikatakan bahawa tidak perlu belajar kerana jika Allah menghendaki seseorang itu pandai, maka tentulah ia akan pandai tanpa belajar, juga tidak perlu bekerja kerana jika Allah menghendaki seseorang itu kaya, tentu akan kaya juga. Cara berfikiran seumpama ini apabila diteruskan akan merosakkan akal fikiran dan boleh memesongkan keyakinan dan kepercayaan.



Maksud tawakal yang diperintahkan oleh Islam ialah berusaha dan berikhtiar terlebih dahulu sebelum menyerahkan keputusan kepada Allah. Di antara hikmat tawakal ialah melatih diri seseorang supaya rajin berusaha serta sentiasa berserah diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Selain daripada itu, ianya juga mendidik diri supaya bersifat reda akan takdir Allah Subhanahu Wata'ala.



Tujuan tawakal pula ialah supaya apabila seseorang itu gagal dalam usahanya, ia tidak akan menyalahkan takdir, malah ia akan berusaha lebih giat lagi serta tidak jemu-jemu menyerahkan segala-galanya kepada Allah Subhanahu Wata'ala.



Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ibrahim ayat 11, yang tafsirnya:

"Maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri."



Dalam sebuah hadis ada menyebutkan bahawa syurga balasan bagi orang yang benar-benar bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim,
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Akan dimasukkan ke syurga orang-orang yang hati mereka seperti hati burung (yakin benar-benar berserah dan percaya kepada jaminan Allah pada dirinya)."



Begitulah besarnya peranan tawakal dalam kehidupan kita. Dengan adanya sifat tawakal sudah tentulah kita berserah kepada Allah Subhanahu Wata'ala dalam apa jua keadaan.


No comments:

Post a Comment