Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Feb 26, 2010

Salahkah Wanita???



WANITA KUASAI SEKTOR AWAM

Berita Harian 26 Februari 2010


KUALA LUMPUR: Cuepacs semalam meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam semakin meningkat sekarang.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.

Contohnya, kata beliau kepada Bernama, hampir tiga perempat daripada jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) diisi oleh wanita.


*****


Termenung sejenak apabila membaca berita DI ATAS. Sebelum ini kita sudah dilalikan dengan berita mahasiswi yang mendominasi IPTA dan IPTS seluruh negara. Seolah-olah ianya menjadi suatu corak yang saling berkait antara satu sama lain. Terlontar secara spontan satu persoalan di minda saya: SALAHKAH WANITA???

Setelah melalui zaman kegelapan berabad-abad lamanya di zaman jahiliyah, kini kaum wanita bangkit menerusi keistimewaan yang didatangkan bersama datangnya nur Islam. Pemerkasaan wanita yang dilaksanakan menurut batas-batas syariat tentunya menghasilkan sesuatu yang memberansangkan.

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Karena) bagi orang laki-laki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. (4:32).







Bagaimana nasib golongan lelaki?

“Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas perempuan dan kerana lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. …..(An-Nisa’, ayat 34)


Ayat itu menunjukkan kelebihan dan tanggungjawab lelaki antaranya, kelebihan lelaki dengan beberapa ketinggian dan kemuliaan seperti suami bertanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak untuk memahami ilmu keagamaan dan adab tatasusila serta cara hidup Islam.


Malangnya kegagalan dalam kepemimpinan lelaki mewujudkan kepincangan pengurusan keluarga, akhirnya melahirkan permasalahan sosial yang teruk dan memberi impak kepada masyarakat serta negara. Ia juga dilihat berpunca daripada kecetekan ilmu dan kefahaman peranan serta matlamat ia diciptakan.


Kepincangan berlaku bilamana ayah tidak berani menegur anaknya yang tidak bersembahyang, tidak berani menegur isteri yang tidak menutup aurat kerana takut dan bimbang, di sebalik ‘kedayusan’ yang telah tertanam dalam dirinya.


Marilah berusaha untuk menjadi manusia beruntung di dunia yang pasti beroleh keuntungan di akhirat. Hayatilah firman Allah yang bermaksud:


"Sesungguhnya orang lelaki dan perempuan yang Islam, lelaki dan perempuan yang beriman, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, lelaki dan perempuan benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyu', lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya (menjauhi diri daripada perbuatan zina), lelaki dan perempuan yang banyak mengingat Allah. Allah telah menyediakan bagi mereka ampunan dan pahala yang besar."
(Al-Quran, al-Ahzab, 33:35)



Lalu, adakah generasi lelaki yang baik semakin mengalami kepupusan ?

Ianya mungkin perlu dinilai sebagai suatu hakikat. Justeru hendaklah dijadikan agenda utama bagi memperkasakan kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga, masyarakat dan negara. Memperkasakan golongan lelaki perlu disemarakkan bagi memacu perubahan dan kemajuan sesebuah tamadun serta bangsa dan negara.


Penggemblengan tenaga dan idea semua pihak amat diperlukan dalam memperkasakan lelaki dengan segala kekuatan. Allah menuntut umat Islam memperkasakan kepemimpinan lelaki mengimarahkan bumi ini selaras tuntutan syariat Islam.


Akhirnya pemerkasaan kedua-dua pihak lelaki dan wanita haruslah dilihat dari sudut yang seimbang. Keseimbangan bermakna kesejahteraan kepada masyarakat dan Negara.


“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah, ayat 71)



No comments:

Post a Comment