Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Nov 6, 2010

Berpada-padalah...





“Benarlah kata bijak pandai, apabila kita mendapat sesuatu, maka pada masa yang sama kita akan kehilangan sesuatu. Kita tidak akan dapat kedua-duanya pada satu masa. Justeru, pesan bijak pandai lagi, pastikan apa yang kita dapat lebih berharga daripada apa yang kita hilang”….


Serangkap mutiara kata yang dikutip dalam majalah Anis Nov 2010 nukilan Sdr Pahrol Mohd Judi. Entah kenapa secara tidak semena-mena satu perasaan halus menyelinap di sanubari, sukar untuk digambarkan dengan ungkapan kata-kata mahu pun larian mata pena. Bukan kali pertama membaca mahu pun mendengarnya malahan acap kali. Mungkin barangkali putaran zaman serta pengalaman hidup memberikan tafsiran yang berbeza pada sesuatu ungkapan yang sama


Lantas teringat pada bicara seorang teman lewat sore yang lalu…
“Tazkirah itu walaupun selalu didengar dan diulang-ulang tetapi akan member kesan yang berbeza pada hati kerana setiap dari kita melalui pengalaman hidup yang berubah-ubah. Justeru itu janganlah kita ego dan menolak mendengar perbicaraan yang telah kerapkali dibicarakan, apatah lagi jika ianya berbentuk ilmu yang bermanfaat…”


Sungguh benar bagai dikata. Hidup ini ibarat putaran roda. Adakalanya hajat hati meronta-ronta, meminta-minta pada Yang Esa. Sedangkan empunya diri entah setia entahkan tidak, pada Dia Sang Pencipta. Kadangkala hati berbicara .…apa sebenarnya yang dicari dalam hidup yang sedetik cuma?


"Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu untuk bermain-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami, maka Maha Suci Allah raja yang sebenarnya, tiada Tuhan selain Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia" (Al-Mukminun: 115-116).


Dalam mengejar kebahagiaan dunia, adakalanya bahkan mungkin selalu, kebahagiaan akhirat yang bersifat abadi dilupakan. Mudah sekali berputus asa dan kecewa apabila gagal memperoleh yang dihajati untuk urusan dunia. Malangnya jarang sekali berkeluh kesah apabila gagal melabur saham akhirat. Angkuhnya diri yang bernama manusia!!


"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)." (Ali-Imran: 14)



Wahai diri…berpada-padalah dalam mengejar dunia… pastikan apa yang kita dapat lebih berharga daripada apa yang kita hilang….

No comments:

Post a Comment