Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Feb 26, 2010

Salahkah Wanita???



WANITA KUASAI SEKTOR AWAM

Berita Harian 26 Februari 2010


KUALA LUMPUR: Cuepacs semalam meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam semakin meningkat sekarang.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.

Contohnya, kata beliau kepada Bernama, hampir tiga perempat daripada jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) diisi oleh wanita.


*****


Termenung sejenak apabila membaca berita DI ATAS. Sebelum ini kita sudah dilalikan dengan berita mahasiswi yang mendominasi IPTA dan IPTS seluruh negara. Seolah-olah ianya menjadi suatu corak yang saling berkait antara satu sama lain. Terlontar secara spontan satu persoalan di minda saya: SALAHKAH WANITA???

Setelah melalui zaman kegelapan berabad-abad lamanya di zaman jahiliyah, kini kaum wanita bangkit menerusi keistimewaan yang didatangkan bersama datangnya nur Islam. Pemerkasaan wanita yang dilaksanakan menurut batas-batas syariat tentunya menghasilkan sesuatu yang memberansangkan.

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Karena) bagi orang laki-laki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. (4:32).







Bagaimana nasib golongan lelaki?

“Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas perempuan dan kerana lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. …..(An-Nisa’, ayat 34)


Ayat itu menunjukkan kelebihan dan tanggungjawab lelaki antaranya, kelebihan lelaki dengan beberapa ketinggian dan kemuliaan seperti suami bertanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak untuk memahami ilmu keagamaan dan adab tatasusila serta cara hidup Islam.


Malangnya kegagalan dalam kepemimpinan lelaki mewujudkan kepincangan pengurusan keluarga, akhirnya melahirkan permasalahan sosial yang teruk dan memberi impak kepada masyarakat serta negara. Ia juga dilihat berpunca daripada kecetekan ilmu dan kefahaman peranan serta matlamat ia diciptakan.


Kepincangan berlaku bilamana ayah tidak berani menegur anaknya yang tidak bersembahyang, tidak berani menegur isteri yang tidak menutup aurat kerana takut dan bimbang, di sebalik ‘kedayusan’ yang telah tertanam dalam dirinya.


Marilah berusaha untuk menjadi manusia beruntung di dunia yang pasti beroleh keuntungan di akhirat. Hayatilah firman Allah yang bermaksud:


"Sesungguhnya orang lelaki dan perempuan yang Islam, lelaki dan perempuan yang beriman, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, lelaki dan perempuan benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyu', lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya (menjauhi diri daripada perbuatan zina), lelaki dan perempuan yang banyak mengingat Allah. Allah telah menyediakan bagi mereka ampunan dan pahala yang besar."
(Al-Quran, al-Ahzab, 33:35)



Lalu, adakah generasi lelaki yang baik semakin mengalami kepupusan ?

Ianya mungkin perlu dinilai sebagai suatu hakikat. Justeru hendaklah dijadikan agenda utama bagi memperkasakan kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga, masyarakat dan negara. Memperkasakan golongan lelaki perlu disemarakkan bagi memacu perubahan dan kemajuan sesebuah tamadun serta bangsa dan negara.


Penggemblengan tenaga dan idea semua pihak amat diperlukan dalam memperkasakan lelaki dengan segala kekuatan. Allah menuntut umat Islam memperkasakan kepemimpinan lelaki mengimarahkan bumi ini selaras tuntutan syariat Islam.


Akhirnya pemerkasaan kedua-dua pihak lelaki dan wanita haruslah dilihat dari sudut yang seimbang. Keseimbangan bermakna kesejahteraan kepada masyarakat dan Negara.


“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah, ayat 71)



Feb 16, 2010

Antara Dua Darjat




Sudah tiga hari berturut-turut kita dikejutkan dengan berita pembuangan dan penemuan mayat bayi. Kelmarin, mayat bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan semalam, seorang bayi ditinggalkan di hadapan rumah seorang pegawai polis di Kedah. Penemuan terbaru awal pagi ini, cukup mengejutkan seluruh penduduk Kampung Permatang Duyong di sini. Ketika ditemui, bayi yang cukup sifat itu hanya dibalut dengan sehelai kain putih.Bilal masjid yang datang menunaikan solat Subuh merupakan orang pertama menjumpai mayat bayi itu yang pada mulanya disangka gumpalan baju.



Ketiga-tiga peristiwa tersebut hanyalah secebis dari ratusan peristiwa yang tidak mungkin terakam oleh media. Mengapakah manusia sekejam itu? Membiarkan bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa kerakusan nafsu durjana angkara hasutan iblis dan syaitan.





Mayat bayi yang tidak berdosa...Dimana letaknya akal dan budi??




Di penjuru kehidupan yang lain, saya memerhatikan dan kagum dengan sifat penyayang sang ‘pendatang, si hitam yang baru saja melahirkan empat ekor anak lima hari yang lalu. Walaupun telah kematian ‘suami’, si hitam menjaga anak-anaknya dengan penuh kasih dan sayang. Tidak pernah sedetik pun ia meninggalkan anak-anaknya kecuali untuk ‘keperluan’. Pernah suatu pagi, ketika saya melangkah kaki untuk ke tempat kerja, seekor kucing jantan cuba menghampiri kotak tempat tinggal anak-anak sihitam. Ketika itu si hitam sedang berada di tepi sungai tidak jauh dari rumah. Melihat kelibat si jantan yang merupakan ancaman kepada anak-anaknya , sepantas kilat si hitam menyerang si jantan lantas terus melindungi anak-anaknya. Naluri keibuan saya begitu terusik dengan sifat keibuan si hitam. Melihat ia membesarkan anak-anak di depan mata, membuat saya terfikir dimanakah darjat manusia yang sanggup membuang anak sendiri??




Si Hitam sentiasa melindungi anak-anaknya dari sebarang gangguan.


Apakah perbezaan darjat antara manusia dan binatang jika itulah yang sanggup dilakukan, sedangkan manusia dikurniakan akal untuk dapat membezakan yang hak dan bathil.



Namun jika akal tidak digunakan untuk membentuk akhlak yg mulia, maka dibimbangi manusia akan tergolong kedalam golongan yg diibaratkan lebih hina daripada haiwan, sebagaimana firman Allah yg bermaksud:



“Dan sesengguhnya Kami(Allah) akan isikan neraka Jahanam itu sebahagian drpd golongan jin dan manusia, mereka itu mempunyai hati, tetapi tidak mahu memahami akan ayat-ayat Allah. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak mehu melihat tanda-tanda kekuasaan Allah. Mereka mempunyi telinga, tetapi tidak mahu mendengar (ayat-ayat dan nasihat Allah). Mereka itu tidak ubah seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah org2 yg lalai.” (Surah al-A’raf : 179)


Akal dijadikan sebagai alat untuk mencapai dan menuju kesempurnaan sebagai manusia yang mulia disisi Allah SWT. Manusia yang menggunakan akal untuk kesejahteraan diri dan masyarakatnya, akan sentiasa mencari dan menggunakan ilmu ke arah kebaikan.

“Sesungguhnya Kami jadikan manusia itu sebaik-baik kejadian. Tetapi kemudiannya Kami kembalikan mereka ke taraf yg serendah-rendahnya. Kecuali mereka yg beriman dan beramal soleh. Bagi mereka pahala yg tidak putus-putus.” (Surah At-Tin : 4-6)

Feb 7, 2010

Pemergiannya Suatu Tazkirah


Comot aka Momot…Gelaran yang kami beri kepada sang ‘pendatang’. Seekor anak kucing jantan yang dulunya datang bertandang ke rumah kami dalam keadaan yang sangat dhaif; kurus, comot dan berkurap, sesuai dengan nama yang diberi.

Kehadiran comot mengubah persepsi penghuni rumah ke atas seekor kucing. Dari bersikap tidak suka, geli dan takut kepada perasaan sayang dan kasihan. Kami rawat dan jaga comot ibarat menjaga seorang bayi..terutamanya Aisyah yang sangat perihatin terhadap Comot. Comot dimandikan, disapu ubat dan diberi makan secukupnya. Akhirnya membesarlah comot menjadi seekor kucing jantan yang jinak, bijak, comel dan manja. Membelai comot merupakan suatu terapi…menyeronokkan!! Ia amat mudah dibentuk, boleh mengurus diri untuk ke bilik air bila diarahkan. Pendek kata tidak menimbulkan banyak kerenah…



Pernah dua kali comot demam. Suhu badannya panas dan ia tidak berselera untuk makan. Dalam keadaan demikian, kami beri ia keistimewaan. Aisyah membawa comot tidur di dalam bilik, menjaga dan membelai. Begitulah akrabnya Aisyah dan comot.

Tanggal 6 Feb 2010, tepat jam 9.45 pagi saya dikejutkan dengan kiriman sms dari Sarah berbunyi:

“Umi, comot dan mati. Kena langgar. Abi tengah tanam comot”…

Terkedu saya seketika. Ibarat halilintar membelah bumi. Terbayang saat saya memberi comot makan ikan rebus manakala Aisyah memberinya minum susu, sebelum kami sama-sama melangkah keluar dari rumah pagi tadi. Saya keluar bekerja manakala Aisyah ke program motivasi di sekolah.

Saya meminta perkara ini dirahsiakan dari Aisyah sementara waktu. Setidak-tidaknya setelah Aisyah kembali ke rumah dalam keadaan selesa dan tenang. Sehari sebelum itu, Hitam ‘isteri’ comot, yang juga merupakan ‘pendatang’ ke rumah kami telah melahirkan empat ekor anak yang comel. Kesemuanya memiliki warna seperti comot. Sekaligus mengesahkan bahawa anak-anak ini adalah anak comot. Aisyah sangat gembira dengan kelahiran ini.



Petang itu, kami mengambil Aisyah di sekolah dan cuba merahsiakan perkara sebenar. Namun Aisyah telah terlebih dahulu membaca sms di dalam hp saya.

“Allah telah menggantikan comot dengan sesuatu yang lebih baik, empat ekor anak yang comel”, saya cuba memujuk Aisyah. Kesedihan tidak dapat dibendung. Aisyah menangis tersedu-sedu. Seharian beliau tidak berselera makan.


Begitulah suratan sebuah kehidupan. Comot hanya dipinjamkan seketika kepada kami. Kematian adalah sesuatu yang pasti kepada semua makhluk. Ia tidak akan dilengahkan atau dicepatkan walaupun sesaat.

“Dan (ingatlah), ALLAH tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan ALLAH Amat Mendalam Pengetahuan-NYA mengenai segala yang kamu kerjakan“ . (al-Munaafiquun : 11)

Sesunggguhnya pemergian comot yang tragis merupakan suatu tazkirah yang cukup bermakna. Betapa kehidupan silih berganti datang dan pergi. Apakah persediaan kita sebagai manusia untuk menghadapi saat yang sedemikian??

Muga sama-sama dapat kita renungkan…