Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Sep 23, 2010

Berlumba-lumba Membuat Kebajikan




Berbicara dengan seorang teman sekolah yang telah lama tidak ditemui memang menyeronokkan. Pelbagai berita dan cerita silih berganti. Tanpa disedari sudah lebih dua jam kami disitu, membicarakan kisah-kisah silam yang mencuit hati malah ada ketikanya menggegarkan minda kerana putaran roda kehidupan yang begitu pantas berlaku.

“Eh…apa perancangan kau bila dah pencen nanti ye”, tiba-tiba temanku itu mengalih topik perbualan. Entah apa yang berlegar di benaknya tidak pula ku ketahui.

“Kalau dipanjangkan umur, aku nak bersara awal…ambil optional…lepas tu fokus buat kerja-kerja kemasyarakatan. Rasanya habuan dunia ni dah cukup dah…..”, balasku selamba.

Kulihat dahinya berkerut, mungkin memikir sesuatu.

“Apa kerja-kerja kemasyarakatan yang kau nak buat tu?. Kau tak sayang dengan profesyen yang kau ada sekarang? Kau pasti ke kerja-kerja kemasyarakatan yang kau buat nanti tu boleh diterima oleh orang ramai? Kau nak buat kerja yang orang lain dah buat?….bertubi-tubi soalan keluar dari mulut rakanku ini.

Aku hanya membalas dengan senyuman diiringi sebaris ayat mudah:
“InsyaAllah…mudah-mudahan Allah menerima segala amal kebajikanku itu walaupun sekecil zarah…”

Sebelum berpisah petang itu, aku sempat berbisik kepadanya:
“Tapi….tak mesti tunggu pencen baru nak buat kebajikan kan…belum tentu umur kita mencecah pencen…Ruang untuk berbuat kebajikan terbentang luas cuma terserah pada kita samada nak buat atau pun tidak....”.
Kawanku mengangguk-anggukkan kepala tanda mengiakan pendapatku itu.


Islam adalah agama kebajikan. Pengajarannya adalah untuk merealisasikan kedamaian dan kebaikan untuk semua makhluk. Terasnya adalah usaha untuk menegakkan kebenaran. Sebab itulah ia menjadikan usaha berbuat kebaikan adalah sejajar dengan kewajipan dalam mendaulatkan kebenaran.


Adakalanya dalam perjalanan hidup ini kita akan bertemu dengan manusia yang suka memandang remeh kepada kebajikan yang dianggap kecil atau sedikit. Oleh itu ia sering berasa segan malah kadang-kadang enggan melaksanakannya. Lebih teruk lagi ada yang sanggup mencipta pelbagai alasan semata-mata tidak mahu dilihat sebagai pemalas atau pesalah. Tanpa menyedari sebenarnya ajaran Islam amat menekankan tentang perlunya berbuat baik walau bagaimana kecil sekalipun nilainya. Besar atau kecilnya sesuatu itu bersifat relatif dan nisbi. Mungkin ianya dianggap kecil kepada orang tertentu atau dalam situasi tertentu tetapi besar maknanya kepada orang lain dan dalam situasi yang berlainan.


Oleh itu tidak hairanlah kalau Allah SWT telah berfirman dan Surah al Zalzalah ayat 7-8 yang bermaksud:

“Siapa yang berbuat baik walau sebesar zarrah kebaikkan ia pasti melihat ganjarannya. Siapa yang berbuat sebesar zarrah kejahatanpun ia pasti akan melihat padahnya”.


Firman Allah SWT lagi dalam Surah al Nisa’ ayat 4o bermaksud:

“Allah sedikitpun tidak menganiaya sesiapa walau sebesar zarrah pun. Malah kalau ada kebaikan yang dilakukan seseorang Allah akan menggandakan ( balasan)nya. Lebih jauh Allah akan menganugerahkannya dengan pahalaNya yang sangat banyak”.

Manakala dalam sebuah hadith Rasulullah SAW telah bersabda:

“Sedekah satu dirham mendahului (dari segi martabat) sedekah seratus ribu dirham. Sahabat bertanya: Bagaimana boleh jadi begitu. Baginda menjawab. Seorang lelaki memiliki dua dirham sahaja dan dia lantas menyedekahkan satu dirham. Manakala yang seorang lagi balik rumah terus pergi mengambil seratus ribu dirham dari hartanya yang sangat banyak lalu ia menyedekahkannya”.





Pengetahuan mengenai kebaikan belum tentu boleh atau akan membawa seseorang itu segera melakukannya . Jadi untuk menggesa umat Islam supaya segera melakukan kebaikan maka Allah SWT telah berfirman dalam Surah Ali Imran 133-134 bermaksud:


“Berlumba-lumbalah untuk mendapatkan keampunan tuhan kalian di samping syurga yang luasnya seluas petala langit dan bumi. Syurga tersebut disediakan untuk orang yang betaqwa dan menginfaqkan harta mereka dalam keadaan senang dan susah”.


Marilah kita berlumba-lumba untuk membuat kebajikan. Sebaliknya usahlah kita mempersoalkan sebarang usaha kebaikan yang dilakukan oleh orang lain adakah ianya bermanfaat untuk ummah atau pun tidak. Kepada Allah jua kita akan kembali dan kepada Allah jualah kita berserah.

Sep 15, 2010

Kembara Ziarah Aidil Fitri 1431H

Sewaktu entry ini ditulis,kami sekeluarga baru saja sampai ke rumah di Skudai, Jb dari permusafiran sempena Kembara Aidilfitri 1431H. Alhamdulillah, perjalanan pergi dan kembali dilindungi dan dipermudahkan oleh Allah SWT.


Seperti biasa, 1 Syawal disambut di rumah mertua di Pontian Johor. Di saat sebahagian pasangan suami isteri lain pening kepala untuk memilih destinasi beraya, saya sebagai anak yatim piatu, sejak awal perkahwinan mencadangkan supaya kami beraya di rumah ibubapa mertua. Hinggakan my hubby pernah bergurau: “Untung juga kahwin dengan anak yatim ni ye, tak payah pening2 nak berebut raya di mana”…..






Kami menghabiskan satu dan dua syawal di Pontian. Berkesempatan membawa ibubapa menziarahi sanak saudara terdekat . Syawal kali ini juga menyaksikan pertemuan semua keluarga sebelah bapa mertuaku sepertimana yang dirancang sejak awal.



Keluarga besar sebelah suami... di depan rumah Allahyarham datok kepada suami


Petang 2 syawal, kami bergerak menuju ke Endau/Rompin dan bermalam di Seri Malaysia Rompin sebelum ke Dungun Terengganu, bagi menghadiri majlis kesyukuran pernikahan Siti Fatimah yang merupakan rakan sekuliah dan serumah anak sulung kami di Cairo, Mesir.



Menunggu pesanan makanan di pekan Endau



Demi sebuah persahabatan...bersama pengantin Siti Fatimah



Dari Dungun kami meneruskan pengembaraan ziarah Aidil Fitri ke Temerloh Pahang, ke rumah abang sulung saya. Pengalaman menarik….anak2 kami belajar mengenali buah rambai di sini…aduhai…..



Bersama abang sulung di Temerloh



Pertama kali anak-anakku berkenalan dengannya....


Kami meredah malam yang hitam pekat disirami hujan lebat bagi meneruskan perjalanan ke Perak. Oleh kerana masing-masing keletihan yang amat sangat, kami mengambil keputusan untuk bermalam di Hotel R&R Rawang. Keesokan harinya barulah kami menyambung semula perjalanan.



Bersama seorang lagi abang di Sungkai


Rumah kakak di Sungai Manik yang dikelilingi oleh sawah menghijau



Seusai ziarah kaum keluarga di Perak kami meneruskan kembara ke Cameron Highland setelah agak lama tidak berkunjung ke sana. Terasa tenang dan damai di kelilingi tumbuhan menghijau di sebalik kenyamanan udara segar dan dingin. Terasa ingin berlamaan di sana tetapi keadaan tidak mengizinkan…



Di Desa Anthurium apartment






Periuk kera kah ini?


Dari Cameron Highland kami bergerak menuju ke ibukota memandangkan suami ada amanah yang perlu dilaksanakan. Kami menginap di Seri Cempaka Service Suite di Cheras, penginapan kegemaran keluarga apabila berkunjung ke Kuala Lumpur.



Seteguk teh panas...sebelum meninggalkan Seri Chempaka pagi itu...



Beginilah keadaan muatan tujuh sekeluarga sebelum bertolak balik ke Skudai...



Selaku Bendahari IKRAM Johor, suami menyerahkan sebahagian sumbangan orang ramai kepada salah seorang sukarelawan yang akan ke Gaza, Dr Zain Kandar di pejabat Aqsa Syarif Kajang



Kepenatan....namun tetap ceria...



Pukul 4.00 pm Rabu 15 September 2010 kami sekeluarga selamat sampai kembali ke rumah, disambut oleh si Chomel, kitten yang kami selamatkan seminggu menjelang syawal setelah kematian sang ibu kerana di baham anjing liar. Si Chomel yang telah lulus ‘toilet training’ ternyata kelaparan kerana bekalan whiskes tidak mencukupi….banyaknya dia makan…..



Si Chomel senang hati kerana kami sudah pulang...


Misi kembara dan ziarah sudah selesai. Kini kembali meneruskan tanggungjawab dan amanah seperti biasa….Alhamdulillah. Muga kita dipertemukan lagi dengan ramadhan akan datang. Mohon maaf kepada sanak saudara yang tidak sempat diziarahi. I.Allah jumpa di lain masa.....Salam Aidil Fitri....

Sep 7, 2010

Meniti Saat Berbakinya Ramadhan




Begitu pantas masa berlalu hinggakan tidak terasa bulan Ramadhan sudah berada di akhir perjalanannya. Hari ini 28 Ramadhan, bermakna 28 hari yang indah telah berlalu, waktu-waktu yang penuh berkah akan berakhir. Tentunya sebagai seorang muslim kita rasa berbahagia mampu melaksanakan ibadah Ramadhan hingga di penghujung terakhir.


Mengimbau kembali kegembiraan kita sewaktu munculnya satu Ramadhan. Memulai indahnya hari dengan bersahur , mengenang begitu nikmatnya berbuka puasa, menunaikan solat tarawih, tilawah Al-Qur’an, bersedekah, membayar zakat, bermunajat, dan amalan-amalan baik lainnya hinggakan tidak terasa saat indah itu sudah berada di penghujungnya.


Meniti saat berbakinya Ramadhan terasa pilu dan sebak di sanubari. Meniti hari-hari yang penuh barakah di sepuluh malam terakhir di mana semua pintu-pintu neraka ditutup membuat perasaanku berbaur. Apakah tarbiyah ramadhan telah dilalui dengan sempurna? Adakah semua amalan diterima? Apakah dosa dan kesilapan telah diampunkan? Apakah ramadhan ini telah menjadi yang lebih baik dari sebelumnya?

Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang artinya :
"Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka akan diampunkan baginya dosanya yang telah lalu."

Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasai'e dan Baihaqi :
Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya."

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun."





Sesungguhnya Allah itu Maha Sempurna dan sentiasa menyempurnakan janjinya.


“Ya Allah terimalah puasa kami, qiyam kami, ruku’ kami, sujud kami, kekhusyukan kami, ibadah kami, tilawah kami, sedekah kami dan sempurnakanlah segala kekurangan kami wahai Zat yang Maha Kasih dari yang mengasihi”.


“Ya Allah, Sampaikanlah kami pada bulan ramadhan (berikutnya)”

Marilah terus merebut peluang ramadhan yang masih berbaki. Mudah-mudahan segala amalan ramadhan kita ini menjadi bekal untuk memperbaiki kehidupan mendatang hingga kita bertemu ramadhan berikutnya.

Memetik kata-kata Imam Hasan Al Basri:
“Jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana), jangan menjadi hamba Ramadhan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadhan sahaja)”.

Sep 3, 2010

Menjelang Syawal....





Tiada sesuatu yang lebih menggembirakan menjelangnya Syawal yang mulia selain dari dapat berkumpul bersama orang-orang tersayang: ibu,bapa, suami, isteri dan anak-anak. Saat-saat indah seperti inilah yang dinantikan oleh setiap insan.


Namun adakalanya hidup tak sentiasa indah seperti yang kita impikan. Ujian dan dugaan datang bertamu tanpa kita dambakan.


“Dah lapan tahun saya ditinggalkan kak. Tanpa sebarang berita jauh sekali nafkah untuk anak-anak. Masa tu saya baru lepas melahirkan anak keempat ni”, sayu suara Pn Esah sambil menunjukkan ke arah anak bongsu di sisi. Sesekali beliau mengesat juraian air mata yang tidak mampu dibendung lagi mengenangkan suami yang terus menghilangkan diri.


“Waktu nak raya macam ni lagilah terasa sedih sangat kak. Anak2 nak baju raya, yuran sekolah pun belum selesai lagi. Saya kerja ikut kontrak, gaji tak menentu. Syukur sangat, kakak saya bagi saya menumpang kat rumah dia ni…”, lancar Pn Esah bercerita lagi apabila dilihatnya saya tidak mampu berkata apa-apa. Berat sungguh ujian yang menimpa Pn Esah dan anak-anak. Betapa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul…


Saya hanya sempat memberikan sedikit kata-kata peransang kepada Pn Esah bagi meneruskan kehidupan mendatang, sebelum kami melangkah pulang dengan meninggalkan sedikit titipan makanan dan wang tunai. Muga beliau terus tabah membesarkan anak-anak tanpa suami di sisi. Benarlah janjimu Ya Allah.


Apakah manusia itu mengira bahwa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji? Dan sungguh Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.(QS. al-Ankabut (29) : 2-3)






Itu hanyalah salah satu babak kisah benar yang saya temui dalam siri Program Madrasah Ramadhan bersama Pertubuhan IKRAM Johor Bahru Tengah. Pengalaman ini sungguh menginsafkan. Betapa kita wajib mensyukuri nikmat melimpah ruah yang ada di sekeliling kita jua nikmat kehidupan berkeluarga yang masih kita kecapi.


Selamat menyemarakkan sepuluh malam terakhir ramadhan. Selamat merayakan hari kemenangan. Jangan lupa terhadap mereka yang memerlukan sumbangan dari kita.