Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Oct 4, 2010

Kebahagiaan Seorang Ibu




Syawal bakal melabuhkan tirainya. Kegembiraan berkumpul dan bertemu sanak saudara serta keluarga telah terpahat menjadi sebahagian dari nostalgia yang tersimpan rapi dalam memori kehidupan. Nun jauh disudut kalbu, tersimpul sebuah doa kudus mengharapkan bertemu lagi dengan ramadhan dan syawal akan datang.


Itu lumrah kehidupan. Setiap permulaan pasti akan ada pengakhiran bagi sesuatu yang bersifat baru. Keriuhan suasana rumah ketika anak-anak berkumpul telah menjadi semakin sepi kerana masing-masing telah kembali ke persada sendiri.


“Kau tahu Su…ketika ayat ini ditulis, aku hanya mampu menyeka airmata…terasa sunyi sesunyinya….”, bicara seorang teman lewat chatting bersamanya dalam laman sosial facebook.


“Biasalah tu Zu…sekurang-kurangnya kau merasai juga kemeriahan Syawal dengan kepulangan anak-anak kau. Bayangkan ada anak-anak yang langsung tidak pernah menjenguk kedua orang tuanya bertahun-tahun…”, pantas jari jemariku membalas kata-katanya.


“Eh…ada ke yang macam tu ?”, balas temanku dengan kehairanan..


“Kalau kau tak percaya, kau cuba ambil kesempatan ziarah rumah orang-orang tua. Kau akan dapat banyak cerita kisah-kisah benar tentang realiti anak-anak zaman sekarang..”, pintasku cuba meyakinkannya.


Agak lama aku menunggu balasan reaksi darinya. Mungkin dia tidak dapat membayangkan apa yang aku perkatakan. Seketika kemudian dia kembali merespon:


“Entahlah Su…akhir zaman ni macam-macam benda pelik berlaku kan..Ada ibu buang anak, ada anak tak mengaku ibu bapa. Apa nak jadi dengan kita ni?”, rungutnya dipenuhi kegusaran.


“Itulah hakikatnya apabila kita tidak kembali mengambil Islam secara syumul. Dalam Islam telah termaktub hak ibu bapa dan juga keistimewaan anak sebagai suatu anugerah. Tidak ada jalan pintas untuk masalah ini melainkan kembali kepada ajaran Rasulullah SAW tentang baitul muslim”, tulisku panjang lebar, sebagai tazkirah untuk diriku yang juga selalu alpa dan leka.


Chatting kami berakhir petang itu tanpa nokhtah apabia azan asar memecah keheningan alam. Kami berjanji untuk menyambung episod perbincangan ini di masa yang terluang kelak.





Seusai solat asar petang itu, aku kembali menekuni PC ku untuk menyelesaikan kerja-kerja yang perlu. Secara tidak semena-mena aku terbaca tagline dalam sebuah blog rakanku berbunyi:


“Tidak wujud (ada) anak di dalam sesebuah keluarga melainkan mulialah ke luarga itu.” (Hadis riwayat Tabrani).


Membaca hadis ini, aku terkenang semasa anak-anakku yang seramai lima orang itu masih kecil. Terbayang penat lelahku menguruskan mereka tanpa pernah ada pembantu rumah. Sekarang semua anak-anakku telah meningkat dewasa. Malah ketika entry ini ditulis, aku sekeluarga baru saja melepaskan anak sulungku kembali ke Cairo menyelesaikan pengajian yang masih berbaki. Anak kedua telah kembali ke kampus dan anak ketiga baru saja bercuti selepas peperiksaan akhir semester.


Aku merindui suasana hiruk pikuk di kala mereka masih kecil .Walaupun penat tetapi itulah kebahagiaan menjadi seorang ibu. Malangnya mutakhir ini, ada ibu bapa yang tergamak meninggalkan anak mereka tanpa memikirkan nasib yang bakal dialami. Lebih teruk ada yang sanggup membuang anak di tepi jalan, parit dan sungai, langsung tidak membayangkan sifat belas kasihan.


Tindakan mereka ini ibarat perilaku masyarakat Arab zaman jahiliah dulu, yang bersikap zalim terhadap kanak-kanak apabila sehingga sanggup menanam anak mereka hidup-hidup. Sedangkan anak-anak inilah kelak yang akan mendoakan kedua ibubapanya apabila mereka telah tiada.


Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Bila mati anak Adam, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah amal jariah,ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh”.



Mungkinkah fenomena pembuangan anak yang telah lama berlaku ini ada kaitan dengan permasalahan anak-anak tidak mengaku ibu bapa apabila dewasa kelak?


Tidak ada suatu jawapan pasti tetapi kedua-duanya seolah-olah saling berkait.


“Harta benda dan anak-anakmu hanyalah ujian. Dan disisi Allah ada pahala yang besar”, (at-Taghabun:15)


Muga kita terus berusaha untuk menjadikan keluarga kita keluarga sakinah yang dilimpahi mawaddah wa rahmah. Apa yang akan dinilai oleh Allah SWT adalah sejauh mana kita telah melaksanakan tanggungjawab sebaiknya di dalam mendidik dan membentuk anak-anak menjadi insan yang soleh. Natijahnya kita hanya mampu mengharapkan bantuan dan pertolongan Allah SWT jua….