Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Nov 2, 2011

Sudah Hilangkah Rasa Takut....?


Bicara bersama teman-teman dalam pertemuan petang itu mengenai soal kehidupan masa kini membuat mindaku sejenak berfikir: Mudahnya manusia lupa…lupa pada amanah, lupa pada tanggungjawab dan yang sangat penting sudah tentu lupa pada hakikat kejadian…


Menyelusuri rentak kehidupan yang berlaku dipersekitaran…terserlah keruntuhan nilai berlaku di mana-mana; yang nyata hukum Allah diketepikan….sebaliknya aturan manusia diutamakan…


“Di kampong saya, kecurian semakin bermaharaja lela…yang membimbangkan ianya dilakukan oleh anak-anak ramaja yang masih bersekolah….”, luahan hati seorang teman.


“Kat asrama kolej saya….beberapa pasangan muda-mudi kerap ditangkap berdua-duaan…yang peliknya pihak pengurusan tak mahu campur tangan…”, gerutu seorang teman lain.


“Ala…bukan budak-budak aje…yang dah dewasa ni pun ramai yang terjebak dengan kes-kes khalwat ni…..gara-gara terperangkap cinta kasihan…”, bicara seorang teman lagi sambil menceritakan masalah sosial yang berlaku di tempat kerja beliau.


“Itu baru bab soal hubungan antara dua jantina. Kalau cerita bab rasuah, bab salah guna kuasa lagi menarik….”, mencelah seorang teman yang lain…


Sejenak terfikir, adakah telah dicabut rasa takut dari diri manusia sekarang ini dalam melakukan penentangan terhadap hukum ALlah? Atau adakah kerana manusia sendiri yang sudah mencampakkan jauh-jauh rasa takut itu dari dalam diri mereka…Kesannya manusia sudah takut untuk menasihati diri sendiri apatah lagi menasihati dan menegur orang lain…


Sesungguhnya rasa takut kepada Allah itu merupakan salah satu perasaan yang diciptakan dalam diri manusia untuk memotivasi mereka dalam menyebarluaskan dan menjaga nilai-nilai Ilahi.


Jika manusia memahami begitu banyak maksiatnya yang akan dihadapkan kepada Allah SWT di akhirat kelak, maka akan timbullah rasa takut dalam diri dan seterusnya menjadi pemangkin untuk ia meninggalkan maksiat lalu terus membuat komitmen dalam ketaatan dan bersungguh-sungguh dalam melakukan amal kebaikan.


Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Berfirman Allah SWT : Demi Keagungan dan Kekuasaan-Ku tidak mungkin berkumpul dua rasa takut dalam diri hambaku dan tidak akan berkumpul dua rasa aman. Jika ia merasa aman padaKu di dunia maka akan aku buat ia takut di hari kiamat, dan jika ia takut padaKu di dunia maka ia akan aman di akhirat.” (HR Ibnu Hibban)


Muga kita termasuk dalam golongan mereka yang sentiasa takut untuk mendurhakai janji dan sumpah setia kepada ALLAH SWT sebagaimana yang kita lafazkan setiap hari dalam solat yang kita lakukan…”Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk ALLAH SWT semata-mata..”

Sep 6, 2011

Catatan Syawal 1432H

Syawal 1432H telah hampir seminggu memunculkan diri, meninggalkan nostalgia Ramadan yang telah berlalu pergi. Sejauh mana pencapaian sasaran yang telah ditetapkan di sepanjang bulan Ramadan, hanya Allah SWT yang layak menilai, dengan harapan setiap dari kita akan termasuk di dalam golongan mereka yang akan diberi peluang bertemu Ramadan akan datang untuk terus memperbaiki prestasi diri.

Di sebalik kesibukan tugas sebagai wanita berkerjaya, juga pengurus rumahtangga sepenuh masa (kerana tiada pembantu rumah), menjelang Syawal kali ini sempat juga menyiapkan dua set langsir di dua buah rumah, rumah sendiri dan rumah ibu mertua. Beberapa orang kenalan bertanya, bila agaknya mencuri-curi masa menjahit? Jawapan saya mudah…kalau hati sudah suka semua indah belaka..Bagi saya menjahit adalah satu hobi yg boleh menjadi salah satu dari cara meredakan ketegangan minda….








Warna langsir di rumah mak mertua ni di padankan bersesuaian dengan tema rumah…pink….





Dan inilah wajah rumah kampong yang menjadi tempat berkumpul kami sekeluarga setiap kali syawal menjelang….





Syawal kali ini nampak gayanya tak cukup korum…




Posing bersama sidia…




Posing dgn anak2 gadis..





Yang ini dgn bujang senang…




Catatan hari raya kali ini agak tidak sempurna..…kerana gambar2 episod berhariraya di kampong halaman Perak musnah dalam simpanan. Tinggallah segala memori menjadi rakaman sejarah dalam lipatan hati sanubari….muga keindahan syawal seindah amalan dan kemeriahan syawal menjadi bukti kemenangan perjuangan di sepanjang Ramadan….

Salam Aidil Fitri…

May 12, 2011

Terima Kasih Guru




Terima Kasih Guru

Seorang insan ditabir malam
Tersenyum di balik kepayahan
Tidakkan layu mencurah ilmu
Luas lautan baktimu guru

Kau membentuk akhlak diri
Agar menjadi insan berbudi
Menyuluh gelita malam
Terangi kehidupan

Terima kasih cahaya hatiku
Tulus suci kasihmu
Oh Tuhan
Rahmati guru



Anakku,
Itulah sebahagian bait-bait lagu dendangan Saujana yang cukup mengesankan di jiwa ibu. Setiap kali berkumandang, tergambar di mata ibu wajah-wajah tenang guru yang sedang mendidikmu di sekolah ketika ini. Betapa ibu telah memindahkan amanah mendidikmu kepada guru mu itu!

Ketahuilah anakku, betapa besar pengorbanan yang telah mereka lakukan untukmu dan semua anak didiknya. Pernahkah terfikir olehmu saban hari tanpa mengenal hujan dan panas, mereka akan bersamamu ke sekolah seawal pagi hinggalah ke dinihari . Sedangkan mereka juga mempunyai keluarga yang perlu diuruskan sepertimana keluarga kita . Namun semuanya dilakukan dengan ikhlas demi melihat kejayaanmu anakku.

Ibu meyakini bahawa pengaruh guru terhadap perkembangan anakku, malah terhadap bagaimana anakku melihat dunia persekitaran, begitu besar dan bermakna. Namu tidak ramai daripada kita yang mengiktiraf jasa guru, justeru melihat kehadiran guru dalam hidup ini tidak lebih sebagai salah satu daripada pengalaman biasa yang ditempuh oleh seseorang sebelum melangkah ke alam dewasa.

Akibatnya anakku, ibu dapat merasakan bahawa tidak ramai daripada kita yang akan terus mengingati tarikh 16 Mei ini untuk sekurang-kurangnya menghubungi semula guru-guru yang pernah berjasa kepada mereka untuk mengucapkan 'Selamat Hari Guru' atau sekurang-kurangnya bertanya khabar. Ramai juga yang beranggapan meninggalkan sekolah bermakna meninggalkan seluruhnya institusi itu termasuk guru-guru yang pernah berjasa.

Ketahuilah anakku, sesungguhnya perkembangan dan kemajuan sesebuah negara banyak bergantung kepada ramainya ahli masyarakat yang berilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan merupakan elemen terpenting bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang maju dan berkembang pesat. Tanpa ilmu pengetahuan masyarakat tidak akan dapat berkembang dan maju ke hadapan. Ilmu pengetahun juga merupakan pengaliran harta yang berterusan, ia tidak pernah putus mengalir, hanya penggunanya sahaja yang selalu mengenepikan kepentingan ilmu tersebut.

Rasulullah SAW bersabda,
“Barangsiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, Allah telah membentangkan baginya jalan ke surga, sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayap mereka (dengan) penuh keridhaan bagi penuntut ilmu, sesungguhnya penghuni langit dan bumi sekalipun ikan dalam air memohon ampunan untuk seorang alim, sesungguhnya keutamaan seorang alim di atas seorang ahli ibadah seperti keutamaan (cahaya) bulan purnama atas (cahaya) bintang-bintang, sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi, sesungguhnya para nabi tidak mewariskan emas dan perak, tetapi mereka mewariskan ilmu, barang siapa yang mengambilnya berarti ia telah mendapat bagian yang cukup banyak”. (Riwayat At Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, dll).

Ketahuilah jua olehmu wahai anakku, guru adalah merupakan pintu ilmu pengetahuan. Pada mereka ada cahaya ilmu yang jika digali akan menjadi penerang kepada jalan kehidupan. Guru juga merupakan jentera pengaliran ilmu, di samping bertindak selaku pintu keluar masuknya ilmu. Tanpa bantuan dan didikan guru tidak mungkin kita akan dapat menggerakkan sesuatu itu dengan lebih baik dan sempurna.

Begitulah betapa pentingnya guru dalam institusi bernegara dan kehidupan kita wahai anakku. Peranan dan tanggungjawab seorang guru merupakan suatu yang paling mulia dan indah. Bukan setakat mengajar dan mendidik, malahan amal jariah yang tercurah bagi menjadikan anggota masyarakat sebagai generasi yang berguna merupakan hal penting yang patut dijadikan pemangkin untuk terus berkhidmat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud
"Sesiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu, maka ia mendapat pahala orang yang mengamalkan ilmu tersebut, pahalanya tidak kurang sedikitpun dari pahala orang tersebut." (Riwayat Ibn Majah)

Pernahkah terfikir olehmu wahai anakku, saban hari dan ketika ilmu bagaikan makanan minda, isinya penyeri hidup dan bahannya pelengkap suasana. Justeru janganlah kita lalai dan tidak mempedulikannya, agar kita tidak menjadi buih yang melata di atas lautan, banyak dipandang mata tetapi tidak bermanfaat.

Oleh kerana itu anakku, ingatlah pesanan ibu ini:
Kalaulah guru sanggup bersusah payah meredah hujan dan panas untuk mengajarmu di sekolah, usahlah anakku leka dan lalai dari mendengar dan mengikuti pengajarannya. Usahlah anakku membantah setiap arahan gurumu itu kerana ketahuilah olehmu bahawa di sepanjang ketidakbersamaan anakku bersama ibu, guru itulah sebagai ganti ibumu. Maka usahlah sesekali anakku membuat hati guru mu sedih kerana jika itu berlaku bermakna hati ibu juga turut merasa sedih anakku. Sebaliknya manfaatkanlah sebaik mungkin ilmu yang diperolehi dari guru itu. Sematkan segala cita di dada. Berusaha untuk memperolehinya. Ketahuilah olehmu anakku, kejayaan ibumu hari ini juga adalah berkat didikan dan asuhan seorang yang bernama guru.

Akhirnya anakku., kenanglah sentiasa jasa dan bakti guru. Walaupun mungkin ada sedikit perasaan tercalar dihatimu akibat sedikit kesilapan guru, kau maafkanlah wahai anakku. Apalah ada pada sedikit kesilapan jika dibandingkan dengan pengorbanannya yang begitu besar. Kau mula mengenal dunia melalui ruang jendela yang dibuka oleh guru. Sebahagian besar masa membesarmu adalah bersama guru yang mengajarmu proses bermasyarakat dan bersosialisasi.

Hari ini, sempena Hari Guru, kalaupun tidak dengan hadiah, apalah salahnya jika anakku mengenang kembali guru yang banyak berjasa membawa perubahan dalam hidupmu. Pergilah bertemu guru-gurumu dan cium tangan mereka serta ucapkanlah terimakasih dengan seikhlasnya. Pasti Allah akan meredhaimu dan merestui kehidupanmu wahai anakku.

Marilah kita doakan dengan seikhlasnya untuk guru-guru kita semoga kehidupan mereka sentiasa dirahmati Allah dan ditempatkan di tempat yang tinggi bersama orang-orang yang mendapat ganjaran yang baik di sisi Allah SWT. Jasa yang ditabur merupakan sumbangan yang tidak akan pernah kita lupakan.

Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah dan seluruh malaikat-Nya serta penghuni langit dan bumi, sehingga semut yang ada di dalam liangnya dan ikan yu, semuanya memohon kerahmatan ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia." (Riwayat at-Tarmizi).
Ya Allah, perkenankanlah!!


Apr 27, 2011

Maafkanlah....





"Janganlah engkau menjauhkan diri dari seseorang yang selama ini engkau puji kebaikannya dan engkau ketahui kehebatannya hanya disebabkan satu keaiban pada dirinya atau dosa kecil yang telah dilakukannya. Ketahuilah bahawa engkau tidak akan menemui seseorang yang bersih dari kesalahan, sekalipun ia seorang yang terkenal memiliki kehebatan. Oleh itu, adalah lebih baik jika engkau mencari-cari aib dirimu sendiri lalu melenyapkannya dari dirimu”.


Ungkapan indah yang kubaca dari buku La Tahzan (Janganlah Bersedih) benar-benar menjadi satu peringatan yang menginsafkan. Memang benar, acapkali begitu mudah kita menjadi penghukum, menghukum kesalahan orang lain berdasarkan sedikit kesilapan yang dilakukan. Sedangkan jarang sekali kita merenung diri tentang kesilapan dan kesalahan yang kerapkali kita lakukan. Benarlah ibarat pepatah melayu, “Gajah di depan mata tidak kelihatan tetapi kuman di seberang nampak jelas sekali”.


Apa yang lebih membimbangkan ialah ada ketikanya kita lebih suka membicarakan keburukan orang lain, bahkan menjadikannya berita sensasi yang dijadikan sebuah karangan panjang lebar. Tanpa disedari kita telah terjebak dengan budaya mengadu domba atau mungkin barangkali menjadi suatu fitnah yang digeruni jika kita tidak berhati-hati.


Seorang teman pernah berpesan lewat sebuah perkongsian:
“Setiap orang tidak hanya mempunyai satu sifat sahaja. Oleh itu, kekurangan yang dimiliki seseorang teman haruslah dimaafkan. Waktu yang engkau lalui bersama temanmu itu tidak perlu dikesalkan dengan apa yang telah berlaku terhadap dirimu. Tidak usahlah pula engkau berburuk sangka bila terjadi sesuatu yang negatif pada dirinya kerana adakalanya di sebalik perubahan tersebut tersimpan sebuah HIKMAH yang mendalam, bahkan barangkali akan menghasilkan sesuatu yang JAUH LEBIH BAIK dari sebelumnya”.


Seorang penyair pula berkata :
“Hubungan persahabatan kita dalam beberapa hari masih tetap setia, tetapi hujan semusim yang bersemi telah berlalu meninggalkan kita. Kebenarannya menyelamatkanmu tetapi engkau melihatnya dalam kesakitan yang hampir merenggutnya. Berlindunglah kepada Allah, maka engkau akan menemukan orang yang engkau marahi dalam ketenangan, bahkan dialah orang yang taat kepada Penciptanya”.


Lantas teringat dimindaku bahawasanya Rasulullah SAW pernah menjamin syurga ke atas seorang sahabat bukan kerana banyaknya amalan tetapi kerana sifatnya yang suka memaafkan kesalahan orang lain sebelum tidur.


Alangkah indahnya andai aku dapat berbuat demikian….bersifat pemaaf dan suka memafkan kesalahan orang lain walaupun adakalanya amat berat untuk dilakukan, apatah lagi dengan amalan yang sekelumit cuma….yang sudah tentu amat jauh lebih sedikit berbanding dengan amalan sahabat Rasulullah SAW.


Allah SWT berfirman:
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (QS. Ali Imran:133-134)

Mar 22, 2011

Suami ...adalah rezeki yang melimpah ruah




Menekuni pengisian dalam diskusi ilmu semalam, aku terkedu apabila butiran ayat terindah hinggap di cuping telingaku:

“Rezeki itu bukan semata-mata diukur dengan kebendaan. Anak-anak yang baik juga rezeki. Suami yang baik dan tak banyak kerenah juga merupakan rezeki”….

Terpana seketika…lantas tergambar di minda ku tentang anak-anakku…kemudian tentu sekali insan yang paling rapat denganku…suamiku…

Benar sungguh bagai dikata….jika tak tumbuh pasti tidak melata…Suami yang baik itu adalah anugerah rezeki yang melimpah ruah…

Melebihi dua dekad lampau, kami diijabkabulkan atas dasar perjuangan yang sama. Tanpa rasa perlu saling mengenal terlalu lama. Manisnya apabila ikatan termeterai, langkah untuk mengenal menjadi lebih selesa kerana tidak lagi dibatasi garis ajnabi. Pun begitu, acapkali kita mendengar…teori ilmiah manakan sama dengan amali harian…Menyelusuri laluan kehidupan dan persefahaman bukanlah proses yang mudah, tidak seindah diucap apatah lagi bagai diimpikan. Namun ia boleh dibina, ....Cuma barangkali memerlukan helaan nafas yang panjang dan kesabaran yang mendalam.

Masih segar diingatan, airmata adalah senjata setia wanita…airmata jugalah kadangkala berjaya meniup zat kekuatan ke dalam diri seorang wanita…dan airmata di awal perkahwinan jugalah yang akhirnya menjadikan aku seperti aku sekarang…

Dulu…akau merasa cemburu apabila melihat teman karibku menerima jambangan bunga dari suami setiap menjelangnya hari lahir….

Dulu…aku merasa iri apabila melihat suami rakanku begitu romantis melayan isterinya…kerapkali membukakan pintu kereta untuknya…

Dulu…bila aku jengkel aku mengharap alangkah bahagianya andai dipujuk sang suami…

Tetapi…kawanku pernah berkata:
Suaminya dikebas orang kerana terlalu romantikkk…(ha..ha..lucukah ia?)

Kawanku yang lain pula berkata:
Suaminya suka memujuk orang lain selain dirinya….(benarkah itu?..)

Sahabt baikku pula berkata:
Suaminya suka membelikan hadiah kepada sesiapa sahaja yang dia suka…(hmmm….)


Kini…menjelang sore kehidupan….
Aku bersyukur punya kesempatan memiliki suami seperti dia…seadanya….kerana aku juga bukan wanita sempurna…hanya seadanya…..

Aku bersyukur punya kesempatan meraih kasihnya…seadanya…kerana aku juga tidak punya kasih setulus Khadijah…hanya seadanya….

Aku bersyukur punya kesempatan melahirkan anak-anak untuknya…walaupun tidak seramai yang dia pinta…seadanya…kerana aku bukanlah sesiapa….

Aku bersyukur…..Segala pengalaman manis, pahit, maung, suka, duka digaul bersama…Menjadi satu resipi santapan keluarga yang lazat dan berkhasiat jika diadun dengan penuh sabar dan redha…..

Aku bersyukur punya masa bersama dia…suamiku…kerana dia adalah rezeki yang melimpah ruah….

“Ya Allah, Tuhan kami, jadikanlah kami beserta anak cucu kami pemuka bagi orang-orang yang bertakwa”.

Feb 22, 2011

Saling Memberi dan Menerima




“Saya mahu berumah tangga bukan untuk menerima. Saya berumah tangga kerana mahu memberi. Memberi kasih sayang, memberi perhatian, memberi nafkah, memberi kebaikan. Semuanya itu adalah peranan saya di dalam sebuah rumah tangga. Dan seandainya saya menerima apa-apa kebaikan dari isteri, semuanya mengundang rasa syukur, walau sekecil mana sekali pun kebaikan itu”.


Bicara seorang teman senior hampir tiga dekad yang lalu kembali menerjah kotak ingatanku. Bicara puitis yang diucap tatkala aku menunggu saat melangkah ke alam indah dengan perasaan gundah dan pasrah. Bait bicara itu barangkali juga antara wadah yang mampu mengusir rasa gelisah dan resah terhadap masa depan yang bakal berubah.


Memoir lama itu kembali berputar satu persatu di lawang imaginasi tatkala meneliti layangan kad-kad jemputan perkahwinan kiriman saudara mara dan rakan taulan. Aku tersenyum sendirian. Begitu cepat masa berlalu, kita bukan lagi di zaman itu, sekarang adalah zaman anak, menantu dan juga cucu....


Muga anak-anak muda yang bakal menempuh gerbang perkahwinan meningkatkan satu lagi kedudukan dalam kehidupan. Melayari bahtera sebuah perkahwinan tidaklah semudah mengemudi sebuah pelayaran di lautan. Sama memberi dan sama menerima. Alangkah indahnya panorama pelayaran andai kedua-dua pengemudi saling berusaha untuk memberi bukan sekadar meminta-minta. Di sana pasti menanti sebuah pelabuhan yang menjanjikan sejuta kebahagiaan yang berkekalan.


“Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir. “
(ar-Ruum:21)


Selamat melayari bahtera perkahwinan bagi mereka yang bakal meraikannya.

Jan 27, 2011

Yang Kurik itu Kendi, Yang Merah itu Saga





Pagi itu saya agak lewat tiba ke pejabat kerana laluan yang agak sesak di awal minggu. Saya bergegas ke perhimpunan pagi, suatu acara mingguan di tempat kerja. Oleh kerana masa yang suntuk, saya hampir terlanggar seorang pelajar di dalam perjalanan menuju ke dewan.


“Maafkan saya puan, saya tak perasan. Saya janji lain kali saya akan lebih berhati-hati….”, berkali-kali pelajar berbangsa Tionghua itu menundukkan kepala sambil memohon maaf atas ketidaksengajaannya itu. Saya tersenyum sambil menganggukkan kepala sebagai tanda permintaannya diterima….sedangkan dalam hati berkata… “aku yang bersalah sebenarnya…”.


Seusai perhimpunan, saya bergerak menuju ke bilik kerja untuk meneruskan tugas hari itu. Di sepanjang perjalanan bertemu dengan beberapa orang pelajar yang langsung tidak mengucapkan samada ‘selamat pagi’ atau ‘Assalamualaikum’ kepada saya, sebaliknya saya yang memberi ucapan salam kepada mereka.


Sewaktu mengendalikan sesi Tutorial bersama pelajar, seorang pelajar tiba-tiba mencelah sambil berkata, “Tau takpe”…satu ungkapan yang biasa di dengar menyebabkan kita tidak merasakan ia suatu yang ganjil. Sedangkan bagi saya ia seolah-olah mempamerkan sikap ‘kurang ajar’ pelajar berkenaan apabila berbicara dengan orang yang lebih dewasa.


Persoalan yang bersarang diminda saya:
Apakah perasaan saling menghormati sudah semakin terhakis dalam kalangan generasi pelajar/muda terhadap orang yang lebih tua?
Mungkinkah ada perbezaan antara ‘ras’ atau berdasarkan latarbelakang didikan keluarga?
Adakah bahasa-bahasa slanga (??) seperti di atas telah dapat diterima pakai dalam norma kehidupan kita masa kini. Ungkapan lain yang popular, “Ada aku kisah” dsbnya telah digunakan dengan meluas tanpa mengira suasana dan tempat. Samada bersama rakan sebaya mahu pun bersama orang yang lebih dewasa; ayah,ibu, datok dan nenek.


Kemana hilangnya pepatah:
Yang kurik itu kendi yang merah itu saga;
Yang baik itu budi yang indah itu bahasa.


Amalan berbudaya bahasa menzahirkan rasa hormat antara satu sama lain,contohnya orang muda menghormati orang tua, anak menghormati ibu bapa,murid menghormati guru. Dengan jelasnya kita dituntut menghormati orang tua dan menyayangi orang muda. Firman Allah SWT:

“Dan mereka diberi petunjuk (didunia) dengan mengucapkan kata-kata yang baik serta diberi petunjuk ke jalan Allah yang maha terpuji”. (Al-Hajh ayat 24)

Islam dengan jelas mengingatkan tahap ketinggian iman dengan budi pekerti luhur. Didalam beberapa hadis Rasulullah SAW ada menyebutkan bahawa mereka yang terbaik budi pekertinya adalah merupakan hamba yang paling dicintai Allah, mukminin yang paling sempurna imannya dan paling dekat dengan Rasulullah SAW di hari akhirat kelak. Rasulullah SAW telah bersabda:

“Sesungguhnya orang-orang pilihan di kalangan kamu ialah yang paling indah budi pekertinya dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berbuat baik terhadap isterinya”.
(Riwayat At-Tarmizi)